Wednesday, February 8, 2012

~Destinasi cinta-Nya~

~mencari cinta-Nya lebih indah dari mencari cinta makhluk ciptaan-Nya~


Biarlah gambar berbicara kali ini
mencari cinta-Nya
moga ia menguasai seluruh hati
biar tiada sesiapa
cukuplah ada DIA yang sentiasa di sisi

Bukannya tidak suka bergurau senda
bimbang hati yang semakin keras ditelan masa
lebih rela hidup seorang diri
dari terbiar diri terpesona dengan keasyikkan duniawi

Biar di anggap kolot masa kini
asal sentiasa rapat dan dekat di sisi Ilahi

Mujahadah ini sukar pabila nafsu menguasai diri
terasa segalanya berat untuk dilaksana kudrat diri
pabila malas dan rehat menguasai jasad
kaki tak mampu berdiri pabila ditunggangi nafsu sendiri

Aah!
sampai bila ku harus begini
menuruti kehendak nafsu tanpa henti
bilakah masa hendak menggunakan akal kurniaan Ilahi?

Nikmat dunia yang sementara
lebih dicintai manusia dari nikmat syurga yang kekal selamanya
seakan syurga itu jauh, dunia itu dekat
ketahuilah wahai diri
akhirat semakin menghampirimu tiap saat yang berlalu tiap hari
sudahkah dirimu bersedia?

Apa yang mahu ditunjukkan kepada-Nya?
mengawal nafsu sudah terasa payah
apakah bukti dirimu bermujahadah?

Rendahkan dirimu sebagai hamba
bergeraklah di dunia sebagai khalifah
di dunia cukuplah dirimu sekadar berjalan
tetapi berlarilah menuju akhirat wahai insan.

Cukuplah.
berhentilah dari semua ini
nafsumu itu perlu dikawal
bukan di hapus, bukan digari
tetapi di kawal dengan cahaya iman di hati
suburkan imanmu akan tunduklah nafsu
malap cahaya imanmu akan menggilalah nafsu

Jangan pernah berhenti dari mencari sinar cahaya
keluarlah diri dari longkang jahiliyah
sungguh dirimu telah kotor dengan najis dosa 
bersihkan dirimu dengan taubat nasuha
kerna DIA sentiasa menanti kepulanganmu sehingga ajal menjemputmu pulang kepada-Nya

Mencari cinta-Nya bukan satu pilihan
tetapi ia adalah fitrah tiap insan

Cinta itu luas maknanya
tetapi menjadi sempit pabila ia bertukar menjadi fitnah.

Berhati-hatilah dalam mujahadah
teguhkan pendirianmu
mantapkan ilmu dalam dirimu.

Pasti kan bertemu dengan kekuatan yang dicari
buat bekal hingga ke akhirnya nanti

Ya Ilahi
ku menanti saat kepulanganku
moga ia dalam keadaan yang Engkau redhai

insyaAllah
amin~

Tuesday, February 7, 2012

~lontaran duka dan penawarnya pada DIA~

~kedukaan hati hanya Dia mengetahui~




pabila diri tidak mampu bergerak
pabila ilmu tidak mampu menjadi amal
pabila hidup sekadar di awang-awangan
itu adalah tanda hatimu semakin dihimpit kematian
ibarat jasad yang hidup tanpa panduan iman.

Diri larikan diri dari masalah
masalah tak selesai
ditambah lagi masalah

terbeban perasaan
seakan diri merudum jatuh ditelan rasa sedih yang tak berpenghujung



Dipendam perasaan
tak terluah sebarang kenyataan
hati semakin sakit dihimpit rasa kekecewaan

tak termampu berkongsi dengan insan

kerna diri ini tahu tempat sandaran hanya pada Tuhan


pabila semua terluah
disertai rasa amarah
mengundang rasa bersalah
yang takkan tertebus dengan sebuah kemaafan

kesabaran yang tercabar dek keadaan

mengundang sepi sebuah perhubungan
hingga canggung terbit mengundang sesalan


hati yang tercalar
dek luka dari celupar diri yang tak mampu menahan tekanan
diri ini hanya insan! 


yang mempunyai hati dan perasaan
yang masih punya kelemahan
bukan malaikat yang sempurna penciptaan.




sakit.sedih.merintih hanya padaNya

adakah diri ini benar-benar telah berubah?
seakan kembali ke takuk lama 

terlalu banyak yang perlu diperbaiki
masih belajar mengenal diri
masih belajar mendidik diri

masih belajar untuk berdiri sebagai seorang hamba Ilahi

luahan hati 


tiada lagi tangisan yang mengiringi
pabila segalanya dalam genggaman Ilahi 

kemurungan menguasai diri

pabila terputus harapan dari Ilahi 

~terus percaya pada DIA pasti kan membuah bahagia walau duka sentiasa bersama~


wahai diri
yakinlah walau sesusah mana jalan yang dilalui kini
Ia adalah satu didikan dari-Nya
menguatkan diri dan peribadi
pasti ada bahagia di hujungnya nanti
terus percaya dan berusaha
walau kini seakan tiada jalan keluar
walau kini seakan segala-galanya samar
jangan berhenti percaya
jangan pernah berhenti berusaha

DIA sentiasa ada 
sentiasa menemanimu hingga ke akhirnya
tersenyumlah
serikan wajahmu 
kerna ia tanda dirimu masih percaya

^^


ku berserah kini..
menanti..




Monday, February 6, 2012

~Bukan yang terbaik~

~I am not the best on earth but I am trying to work hard to be the best~



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang


Diri ini ingin membuat satu pengakuan. Diriku bukanlah yang terbaik pabila memberikan nasihat atau menulis kata-kata hikmah. Kerna hakikatnya ia adalah satu peringatan buat saya yang mudah tergelincir dari jalan-Nya. 


Ada sesetengah orang yang memberikan tanggapan:


'wah, bagusnya dia ni penuh dengan kata-kata nasihat je, mesti minah alim ni.'
'ala dia tu kau kata baik? alam maya boleh la, kat luar hancur beb!'
'setakat tulis-tulis macam tu, sikit pun aku tak heran. Semua orang boleh tulis'


Apa pendapat kalian pabila membaca atau mendengar kata-kata seperti ini?
Akan mulalah monolog dalaman, 'ala, macam dia tu baik sangat.' 


Bila kita mula memberi tanggapan negatif pada orang, ketahuilah insan lain juga akan memberi tanggapan yang sama pada anda. Saat bermulanya rasa diri lebih baik dari insan lain, saat itu bermulalah juga maruah diri jatuh ke lembah yang hina. 


Bukankah hanya taqwa yang membezakan kita di sisi Allah? Jadi mana satu yang penting? Nilaian Allah atau nilaian manusia? Iya, tak saya nafikan, manusia lebih mudah percaya dengan apa yang matanya lihat. Rumah besar, tanda berjaya, anak ramai, tanda bahagia. tersenyum gembira bersama keluarga tanda dirinya telah mempunyai segalanya, tetapi adilnya Allah dalam menilai manusia, rahsia hati hanya di antara individu dan Pencipta, tmenjadi rahsia hanya pada DIA, lantas apa yang Allah kata baik itulah yang baik, apa yang Allah kata tak baik itulah yang tak baik. Allah menilai pada hati, atas sebab itu insan yang mempunyai hati yang bersih akan mempunyai akhlak yang terbaik.


Pabila diri atau sesiapa saja yang menulis perkara yang baik-baik di alam maya ini, Ia bukanlah bermakna diri tu baik tetapi ia lebih kepada peringatan buat diri sendiri dan juga buat insan-insan yang membacanya. Tidak sedikit pun terdetik di hati ini nak menunjukkan diri lebih baik dari orang lain. Kerna kita semua sama, kita adalah manusia yang diciptakan Allah, bersifat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak pernah mengharapkan kesempurnaan tetapi lebih kepada mengharap untuk berusaha menghampiri kesempurnaan.


Di mana-mana kita akan terjumpa dengan pepatah begini
Jangan lihat siapa yang beri nasihat tetapi lihatlah pada nasihat yang diberi
Jangan melihat siapa yang menegur tetapi lihatlah pada apa yang ditegur.


Jika ada seorang mat rempit dekat kedai kopi dengar azan maghrib, dia tengah siap-siap lah bangun nak pergi solat,
lepas tu dia pun buat pengumuman ' korang taknah g masjid ke? dah maghrib dah ni'
agak-agak la, apa respon orang kedai? 'ala, mat rempit, kecoh nak solat, tak yah sibuk aa.'


betul ke salah? Tak kisah siapa yang berkata-kata tetapi dengarlah apa yang diperkatakan. Orang kita memang suka pandang negatif dulu, kononnya diri tak layak nak tegur siapa-siapa sebab rasa diri tu lebih baik.


Kesimpulannya,


Diri saya ini bukanlah yang terbaik, tetapi sedang cuba untuk menjadi baik. Cuba kita koreksi diri kita semula, ditakuk mana kita berdiri kini?
Kita bukan penghukum, kita adalah pembimbing
Jadi sentiasa buang yang keruh ambil yang jernih, Buat baik berkali-kali, buat jahat jangan sekali.




Yang menilai kita hanya Allah maka segala kata-kata manusia itu anggaplah ia sebagai satu motivasi buat diri.


Diri ku akui
aku bukanlah yang terbaik
tetapi jangan sampai di caci maki
kerna aku juga mempunyai sekeping hati kurniaan Ilahi.

Diri ku bukan yang terbaik
masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki
Bimbinglah daku ke syurgawi
Moga kita kan bersama bahagia hingga ke akhirnya nanti.

tidak akan pernah berputus asa
walau terpaksa bersusah payah
aku akan terus melangkah
hingga ke akhir nafasku di dunia

InsyaAllah
~Amin~